Rekabentuk rumah Melayu tradiosinal amat mengkagumkan kerana ia direkabentuk dengan mengambil kira faktor bahan tempatan dan iklim setempat. Rumah yang sejuk dan mempunyai pengudaraan serta pencahayaan secara semulajadi. Mari sama-sama kita mengenali rekabentuk dan ciri-cirinya.
Pengenalan
Rumah merupakan salah satu peralatan budaya yang
penting dalam kehidupan sesuatu masyarakat. Rumah Melayu dan pembinaannya
menggambarkan satu bentuk budaya bagi orang Melayu yang mendiaminya.
Perspektif & Lakaran Luar Rumah Melayu Tradiosional : sumber dari keriswarisan
Rumah Melayu tradisional adalah sebahagian warisan
seni bina orang Melayu yang sangat bernilai dan telah direka
bentuk serta dibina sehingga menampakkan betapa mahir dan
kreatifnya bangsa Melayu dalam bidang seni bina.
Reka bentuk tersebut memaparkan kebijaksanaan dalam
penggunaan dan keluasan ruang mengikut keperluan semasa, mengadaptasi cuaca dan
penggunaan bahan binaan. Rumah tradisional Melayu melambangkan cara hidup dan
sikap terbuka orang Melayu itu sendiri.
Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan
bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atau anyaman buluh dan
beratapkan rumbia/ nipah atau kayu. Tingkap-tingkap mendominasi tampak dari
segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya
kepada rumah.
Ruang dalaman mempunyai ruang terbuka yang luas dan
mempunyai dinding pemisah yang tersangat minima. Seni bina Melayu adalah kesan
daripada pertembungan budaya kaum yang pernah mendominasi rantau ini seperti
Bugis, Riau, Jawa, Acheh, Minangkabau, Siam, Cina dan Barat.Pada peringkat awal, rumah Melayu tradisional
berbentuk rumah asas yang dikenali rumah pisang sesikat. Bentuk ini kemudiannya
berubah mengikut arus perubahan zaman.
Apakah 6 ciri-ciri Istimewa Rumah Melayu?
Keratan Rentas Rumah Melayu Tradisional : sumber dari keriswarisan
1. Bumbung
Rumah tradisional Melayu terdiri dari bumbung
tetap, tetapi berubah kepada bentuk limas atau dipanggil’ Bumbung
Belanda’ selepas kedatangan penjajah. Bumbung sentiasa condong untuk kesesuaian
cuaca panas tropika. Di sepanjang tepian hujung bumbung, dipasang cucur atap
atau papan cantik berukir melambangkan kehalusan seni masyarakat Melayu.
2. Anjung
Anjung merupakan tempat berehat dan berbincang bagi
kaum lelaki. Wanita kebiasaannya di dalam dan lelaki di luar sesuai dengan
sifat lelaki sebagai pelindung rumah.
Ini menunjukkan masyarakat Melayu amat mementingkan
adat dan tatatertib masyarakat, sehinggakan mereka dipandang tinggi
kerana kaya dengan kehalusan budi pekerti. Tambahan, ini
bertujuan mengelakkan fitnah, di mana tetamu lelaki hanya dipelawa naik hingga
ke anjung sahaja.
3. Ruang Utama/Rumah Ibu
Ruang utama ini dipanggil rumah ibu sempena
menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga. Sesuai
dengan nama ini, fungsinya adalah sebagai tempat berkumpul ahli keluarga untuk
beristirehat dan bersantai bersama-sama.
4. Bilik
Bilik merupakan ruang rahsia tuan rumah dan ahli
keluarga. Kebiasaannya anak lelaki
dan perempuan akan diasingkan. Ini melambangkan masyarakat Melayu mengamalkan
ajaran Islam dalam kehidupan mereka.
5. Dapur
Dibatasi dinding antara ruang utama dengan dapur.
Dapur sebagai tempat memasak dan tempat khas untuk tetamu perempuan,
menandakan peranan perempuan di belakang lelaki.
6. Ukiran
Seni ukir banyak didapati di tangga, dinding
beranda dan papan cucur atap. Ini membuktikan masyarakat Melayu kaya dengan
seni tersendiri. Ukiran yang dibuat bukan sahaja sebagai seni perhiasaan, malah
menggalakkan pengaliran udara dan cahaya masuk untuk menceriakan rumah.
Apakah 4 Faktor Mempengaruhi Pembinaan Rumah Melayu?
Keratan Rentas Rumah Melayu Tradisional : sumber dari keriswarisan
Pembinaan rumah Melayu dipengaruhi oleh 4 faktor utama di bawah :
1. Cuaca
Faktor cuaca memainkan peranan dalam reka bentuk
asas bangunan. Kekerapan hujan mengakibatkan reka bentuk atap yang lebih cerun
dan bertiang untuk mengelakkan banjir.
Kepanasan cuaca juga menyumbang kepada reka bentuk
yang lebih terbuka seperti kehadiran tingkap yang banyak, berandah dan tiang
itu sendiri memberi laluan angin di bahagian bawah rumah.
Tidak cukup dengan itu, lubang angin di bahagian
atas tingkap dan bumbung juga telah direka untuk keselesaan secara maksima.
2. Sumber Alam
Bahan binaan ialah kayu, rotan, akar, buluh,
dan dedaun dari sumber hutan terdekat. Kayu menjadi tunjang kepada struktur
bangunan, manakala rotan dan
akar menjadi pengikat, kayu atau batang pinang menjadi lantai, buluh dan daun
rumbia atau nipah menjadi dinding dan atap.
3. Budaya dan adat resam
Budaya dan adat resam juga memainkan peranan yang
besar dalam membentuk seni bina rumah Melayu. Misalnya kehadiran Islam telah mempengaruhi
orientasi bangunan mengarah ke kiblat. Definisi ruang juga diatur dan diubah
aras mengikut kegunaan adat resam bertandang, kenduri dan aktiviti keluarga.
4. Pengaruh asing
Kehadiran penjajah Barat telah memberi alternatif
baru kepada teknik seni bina Melayu. Sebagai contoh, zink dan atap genting
telah mengambil alih atap rumbia dan kayu, bata dan simen telah mengambil
tempat kayu sebagai tiang, tangga dan dinding, paku menggantikan pasak kayu dan
akar sebagai penghubung atau pengikat.
Pengaruh ini boleh dilihat secara positif dan
negatif oleh umum, iaitu pertembungan dua unsur iaitu praktikal dan seni.
Kesimpulan
Kreativiti minda bangsa Melayu yang diwarisi oleh
tukang-tukang yang mahir telah menghasilkan reka bentuk seni bina yang bukan
sahaja indah malahan halus dan kaya dengan falsafah yang tersirat tetapi mudah
difahami. Tetapi sayang, tradisi ini tidak lagi dapat bertahan dalam arus
pemodenan bangsa Melayu kerana amat sukar mendapati tukang yang mahir
dewasa ini.
Semoga maklumat kali ini dapat menambah ilmu dan idea rumah idaman anda. Ciri rumah ini boleh diadaptasikan pada rumah banglo idaman anda.
Sumber: malaysiana, scribd.com, keriswarisan.com
dan arkib negara Malaysia.